Ujian Allah SWT menerusi makhlukNya yang bernama Al Masih Ad-Dajjal
adalah sebesar-besar ujian yang ditimpakanNya kepada ummat manusia yang
beriman. Tidak ada ujian lain yang menyamainya apakan lagi melebihinya.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda: "Sejak Allah SWT menciptakan
nabi Adam AS sampai ke hari kiamat nanti tidak ada satu ujianpun yang
lebih dahsyat daripada Dajjal."
Sebelum kemunculan Dajjal, dunia
Islam akan diuji dahulu oleh Allah SWT dengan kemarau panjang selama
tiga tahun. Pada tahun pertama, hujan akan kurang sabanyak 1/3 daripada
biasa, pada tahun kedua akan kurang 2/3 daripada biasa dan pada tahun
ketiga hujan terus tidak turun. Umat ketika itu akan dilanda kebuluran
dan kemarau.
Di saat itulah Dajjal akan muncul membawa ujian. Dalam satu
riwayat, penyokong Dajjal akan memiliki bergunung roti (makanan)
sedangkan orang-orang yang tidak percaya dengannya berada dalam
kelaparan dan kebuluran.
Dalam hal ini, sahabat RA bertanya kepada
Rasulullah SAW: "Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam pada hari itu
wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab: "Mereka akan merasa kenyang
dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Jadi zikir-zikir
itu menggantikan makanan."
Dalam satu hadis riwayat Nuaim bin
Hammad: "... Lalu Allah SWT mengerahkan kepada Dajjal syaitan-syaitan
yang ada di timur dan ada di barat dan merekapun datang berbondong ke
hadapan Dajjal dan menunjukkan kesediaan mereka untuk mengikuti apa jua
perintahnya. Mereka berkata kepada Dajjal: "Gunakanlah kami untuk apa
sahaja tujuanmu". Dajjal menyahut "Ya! aku akan berbuat demikian. Maka
pergikanlah kamu pada kesekelian manusia dan usahakanlah supaya mereka
meyakini bahawa aku adalah tuhan mereka. Khabarkah kepada mereka bahawa
aku telah membawa untuk mereka syurgaku dan nerakaku."
Kemudian
syaitan-syaitan itupun bertebaranlah di mukabumi dan masuk ke
rumah-rumah orang dengan bilangan yang sangat banyak, lebih dari seratus
syaitan untuk sebuah rumah. Syaitan-syaitan itupun menjelma dalam
bentuk ayah tuan rumah itu, dalam bentuk anaknya, saudara-saudaranya,
hamba-hambanya dan sahabat-sahabatnya. Mereka berkata kepada tuan rumah
itu: "Wahai fulan, apakah kamu mengenali kami?" Tuan rumah itu menjawab:
"Ya, saya kenal kamu semua. Ini ayahku, ini ibuku, ini saudara
perempuanku, ini saudara lelakiku."
Tuan rumah itu berkata lagi: "Apa khabar kamu semua?" Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Bahkan apa khabar engkau. Cuba ceritakan kepada kami keadaan engkau."
Tuan rumah itu pun berkata: "Sesungguhnya telah diberitakan kepada kami bahawa musuh Allah yang bernama Dajjal itu telah muncul (membuat kerosakan)." Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Janganlah engkau terburu-buru berkata demikian. Janganlah engkau berkata demikian. Dajjal itu sebenarnya tuhanmu yang dapat membuat sesuatu keputusan terhadap nasibmu. Bersama dengannnya ada syurga dan neraka, ada sungai-sungai dan ada banyak makanan. Sesungguhnya tiada makanan kecuali yang datang dari sisinya, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah".
Ketika itu
tuan rumah tadi berkata: "Kamu semuanya pembohong. Kamu adalah
syaitan-syaitan dan Dajjal itu adalah pembohong besar. Sebenarnya
Rasulullah SAW telah memberitahu kami akan keadaan yang sebenar dan
baginda SAW telah menyuruh kami berhati-hati dan baginda SAW telah
menyuruh kami supaya menjaga anak-anak kami. Maka tiada kata aluan
untuk kamu semua. Kamu adalah syaitan-syaitan. Dajjal itu musuh Allah
SWT. Dan sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan nabi Isa bin Maryam
untuk membunuhnya."
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau
berkata: "Rasululah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam
khutbahnya itu Baginda SAW banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda SAW
telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka
bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal.
Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang
Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang
terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu.
Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu,
maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang
sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya
Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
"Dajjal itu akan
datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi
manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia,
tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal,
yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya."
"Pada
mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak
ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan.
Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu
mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan
tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu
tertulis KAF FA RA (KAFIR), yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang
pandai membaca atau buta huruf."
Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah SWT dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk. "
"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata
kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu
yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai
tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang
menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan
suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku,
ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."
"Di antara tipu
dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua.
Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan
kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula.
Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah
Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang
kebetulan orang beriman menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan
engkau adalah musuh Allah. Orang itu beererti lulus dalam ujian Allah
dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."
Kata
Rasulullah SAW lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit
supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya
mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian
yang paling berat bagi manusia.
Dajjal itu datang ke perkampungan
orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai tuhan, maka
disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak
menjadi."
"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya
kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan
yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun
menjadi."
"Tidak ada kota atau daerah di dunia ini yang tidak
didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak
dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya
berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika
Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah
bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan
seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar
dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut
Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah. "
Hadis riwayat Muslim Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang HAFAL 10 ayat dari pertama surah Al-Kahfi, ia akan terpelihara dari godaan Dajjal." (Dalam riwayat lain HAFAL 10 ayat terakhir surah Al-Kahfi)
Sumber: Kisah Sepanjang Zaman - Fitnah Al Masih Ad-Dajjal