Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an
ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil
yang diturunkan sebelum al-Qur'an. Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut
dengan empat panggilan iaitu Isa , Isa putera Mariam, putera Mariam, dan
al-Masih .Ibunya seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya
di atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah
memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua
perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci. Kemudian Mariam bertanya, "Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20). Malaikat menjawab, "Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi- Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21). Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia, yaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahwa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua- duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah. Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh Suci. Firman-Nya: "Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253).
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeda-bedakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi, "Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136). Akibat membeda-bedakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat hukum agama. Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil.
Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil,
baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman
Allah menjelaskannya di sini, berbunyi: "Dan Kami mengutus, menyusuli
jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang
sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya,"
(5:46) dan, "Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau
memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan
Pemelihara kamu.'" (5:117). Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat)
ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy
(7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang
berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam
Taurat dan al-Qur'an. Ketika baginda diutus, manusia sedang berselisih
dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan apa
yang diperselisihkan. Firman Allah: "dia (Isa) berkata, 'Aku datang
kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada
kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu
takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63). Baginda juga
memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang
namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi: "Wahai Bani
Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan
Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul
yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Seperti
Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang
setia dan juga yang tidak setia atau yang menentang.
Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya.
Mereka adalah muslim. Firman Allah: "Dan ketika Aku mewahyukan
pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku';
mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman
kami.'" (5:111). Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi
penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi
penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu
akan kemusliman kami.'" (3:52) Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia
Nabi- Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong
Allah, untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah: "Wahai
orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah,
sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang
setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?'
Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi
penolong-penolong Allah.'" (61:14).
Walau bagaimana pun,
pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut untuk
megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk
itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi
begini: "Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa
putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah
meja hidangan dari langit?' Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah,
jika kamu orang-orang mukmin. 'Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk
memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya kami
mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah
antara para saksinya.'" (5:112-113) Justru itu, Isa memohon kepada
Allah, "Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja
hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang
pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau.
Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada
pemberi-pemberi rezeki." (5:114). Allah mengabulkan permintaannya.
Lantas, meja hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi
Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu
surah kelima, al-Maidah.
Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa
telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat berikut
menjelaskannya: "Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam,
ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku
mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada
manusia di dalam buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu
mencipta daripada tanah liat, dengan izin- Ku, yang seperti bentuk
burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor
burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang
sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku' ..... lalu orang- orang yang tidak percaya antara mereka
berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110). Walaupun
Nabi Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah daripada
berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad.
Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan
Rasul dilarang Allah. Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu
Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit.
Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda
telah wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat
lain yang tidak diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan
baginda telah melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan hukum. Bukti
yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat
berikut: "Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu,
dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada
orang-orang yang tidak percaya .....'" (3:55).
"Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan
mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah
penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117) Akan
tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka
telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa
yang berlaku hanya satu kesamaan saja.
Allah Berfirman: "mereka berkata 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul
Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya,
tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang
yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya;
mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan;
mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157). Telah wujud lagi
kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di dalam
al-Qur'an, yaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali kedua. Itu
tidak benar.
Sumber: kisah25nabi.blogspot.com